blog*spot
get rid of this ad | advertise here
Shinju Câfe
 
 

Name


URL or Email


Messages(smilies)

      

|| Favourites ||

ITtutor.net

Cik Purple

Liquid7

Rezdrake

Detik Jantung Waktu

Cik Ju

Cik Epal

 

 

|| FlashBack ||


September 2003

October 2003

November 2003

December 2003

January 2004

February 2004

March 2004

May 2004

June 2004

July 2004

August 2004

September 2004

November 2004

December 2004

March 2005

April 2005

 

 

1 Ramadhan 1424 Hijrah  

Monday, October 27, 2003

 

Pagi, kami sekeluarga bersahur dalam keadaan yang amat sederhana..Seperti hilang selera..masing-masing masih lagi melayan perasaan sedih dan teringat peristiwa yang berlaku malam tadi. Mak langsung tidak bersahur..hanya meneguk segelas air sejuk, seterusnya.. aku tidak tahu Mak di mana.

Sebaik sahaja Mak pulang dari Masjid menunaikan solat subuh, aku lihat Mak termenung di tangga. Senyap tidak berkata apa-apa. Sempat aku mencuri dengar abang aku menasihati Mak agar tidak bersedih. Yang penting kami semua telah selamat.

Telefon berbunyi..

Mak menjawab panggilan.. sebaik sahaja mengucapkan kata helo.. Mak tidak dapat menahan perasaan. Terus menangis.. Itulah kesedihan seorang wanita tua.. yang ku kira cuba di tahan dari malam tadi dan akhirnya tumpah jua. Abang aku mengambil alih menjawab panggilan. Kakak dari kelantan.. sekadar bertanya khabar di subuh hari. Sperti sudah menjangka ada sesuatu berlaku di kampung katanya.

Tidak putus rumah aku dikunjungi orang kampung yang datang membantu.. Ada yang bertanya khabar.. tidak kurang juga yang membantu membaiki atap rumah. Terima Kasih aku ucapkan kepada semua yang mengambil berat keadaan kami sekeluarga.

Aku menghabiskan 1 ramadhan dengan mengemas rumah. Mengeringkan pakaian serta buku-buku yang telah basah. Mengelap lantai... mengeluarkan semua perabot. Jika tidak.. pasti akan berbau kurang enak di dalam rumah.

Aku pasti tidak akan lupa dengan detik 1 ramadhan ini.

Ribut  

Sunday, October 26, 2003

 

Dimana harus aku mulakan sedikit cerita sedih yang berlaku hari ini.. Kata orang peristiwa yang sedih tak perlu di kenang.. apatah lagi diceritakan kepada orang lain. Tapi bagi aku sedikit kelegaan jika meluahkan nya disini. Teman di kala sepi hadir mengetuk pintu hati.

Petang itu, mak mengajak aku ke masjid untuk menunaikan maghrib di sana seterusnya solat tarawikh. Aku minta izin mak untuk pergi selepas maghrib. Rasa nak makan malam dulu. Mak pergi bersama abang ku. Aku mengambil udara petang di luar rumah.. sambil2 memotong bunga kertas. Kulihat cuaca agak gelap nun di langit sana. Tanda hujan akan turun bila-bila masa sahaja.

Entah kenapa aku berasa sedikit tidak sedap hati. Selesai solat maghrib, aku lihat pokok2 diluar ditiup angin. Membatalkan hasrat untuk pergi ke masjid. Abang aku pulang bersama isteri dan anak-anak.. entah dari mana. Tidak silap mereka ke bandar tadi.

Menyiapkan makan malam.. aku memanggil nenek, abang, kakak serta anak-anak mereka menikmati makan malam. Sedang aku baru sahaja hendak menceduk nasi, satu dentuman kuat kedengaran diikuti hujan yang cukup lebat. Serta merta bekalan elektrik terputus. Meraba-raba aku mencari lilin, sebaik shaja cahaya lilin menerangi dapur, kami meneruskan makan malam. Sekali lagi dentuman petir membuat kan aku tersentak. Aku rasa petir dan hujan kali ini tidak seperti biasa. Kami saling berpandangan. Sedikit riak ketakutan jelas di muka kakak. Deruman angin kuat tiba tiba sahaja mematikan cahaya lilin. Diikuti dengan satu bunyi yang aku sendiri kurang jelas puncanya. Aku terus bangun. Diikuti abang serta yang lain-lain. Makanan kami tinggalkan.. aku panik.. hilang punca.. tak tahu apa yang harus aku lakukan. Pantas kakak mengarahkan abang aku melaungkan azan..

Hujan di luar semakin lebat.. angin kencang semakin menggila..Bunyi yang tadi ku dengar kini berulang lagi..malah lebih kuat dan lebih menakutkan.. akhirnya aku tahu di mana puncanya bunyi tadi.. Begitu jelas.. bumbung rumah ku sudah tiada.. sudah diterbangkan angin.. Aku membaca apa yang patut.. ayat Qursi.. surah-surah lazim.. yang kadangkala aku rasa berterabur bunyinya.. aku takut..terlalu takut..hanya satu yang aku ingat ketika itu.. MATI.. sempat aku mengucap kalimah syadah.. andai ini takdir ku..

Anak-anak saudara aku menjerit menangis ketakutan..begitu juga kakak.. disulami kata-kata memujuk anak-anak supaya bertenang dan berhenti menangis.. sedangkan kami sendiri sedang menangis ketakutan.. bagaimanalah kanak-kanak kecil itu hendak berhenti menangis.. Gegaran semakin aku rasakan. Sempat aku mencadangkan kepada abang aku agar kami keluar dari rumah.. segera di tegah oleh abang..menasihatkan agar aku bertenang.. dan berdoa agar kami selamat dari semua ini..

Lebih kurang 15 minit kemudian, perlahan-lahan angin yang tadinya begitu menggila kini beransur-ansur reda.. cuma hujan yang masih belum berhenti. Namun sudah cukup untuk membuat aku melepaskan nafas kelegaan.. Mula mengangkat muka yang tadinya hanya kaku merenung lantai.. Masih terdengar esakan kecil anak saudaraku.. Sudah mula terdengar suara nenek dan kakak yang tadinya tidak putus membaca ayat2 suci.

Syukur. Kami semua selamat.. tiada siapa yang tercedera. Abang menghidupkan semula main switch elektrik..terang kini rumah ku.. Perasaan yang tadinya takut kini bertukar menjadi sedih sebaik sahaja terpandangkan bumbung rumah yang tidak beratap.. air hujan di mana-mana. Membanjiri lantai rumah.. Aku terus ke bilik ku.. teringatkan buku-buku yang baru sahaja ku bawa pulang dari JB. Ternyata... bilik ku juga menerima nasib yang sama.. basahlah semua buku-buku kesayanganku.. begitu juga kain baju yang belum sempat aku keluarkan dari beg.

Diluar rumah.. dalam kesamaran malam.. sempat juga aku memastikan kereta aku tidak mengalami sebarang 'kecederaan' teruk.. cuma lori abang ipar aku di hempap pokok cempedak.. Bukan di hempap sebenarnya.. entahlah, lokasi pokok tersebut begitu jauh dari lori itu sebenarnya.. entah macam mana ia diterbangkan angin hingga menjadi 'penumpang' kepada lori abang iparku.

Sebaik sahaja mak pulang dari masjid, aku menceritakan segala detik cemas yang berlaku itu pada mak. Mak hanya terdiam.. namun air muka nya tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang Mak rasa.

Malam itu, puas lah aku membersihkan rumah.. mengelap lantai.. biarpun tidak semua lantai ku lap.. cukuplah untuk memberi sedikit ruang untuk kami sekeluarga melelapkan mata. Melelapkan mata di rumah yang hilang separuh dari bumbungnya..

Ya Allah..jika inilah dugaan Mu..aku pasrah.

Kenduri  

Saturday, October 25, 2003

 

Aku tiba di kampung tepat jam 3 petang. Dari jauh ku lihat kereta abang2 dan kakak2 sudah ada di rumah. Tersenyum aku memikirkan betapa seronoknya menyambut ramadhan bila semua berkumpul di rumah.. bukan semua maksudku.. hanya sebahagian.

Sebaik sahaja melangkah kaki ke rumah, perkara pertama yang di tegur pastinya muka aku yang tidak ubah seperti badut kata anak buah ku.. maka seharianlah telinga ku di hidang dengan gelaran mak cu badut oleh mereka.. heh..ketawa sendirian aku mendengar gelaran yang diberikan padaku.. apatah lagi bila di aju soalan demi soalan bertanyakan kenapa muka aku jadi begitu.. puas aku cuba menerangkan.. menggunakan semudah-mudah bahasa.. dengan harapan agar mudah di fahami oleh mereka.. namun nampaknya tidak berkesan.. malah di tuduh aku penipu.."apsal kalau kami mandi laut muka kami tak jadi macam badut".. erkkk

Malam, aku sibuk membantu apa yang patut di dapur.. tapi nampaknya agak kurang kerja aku kali ini.. kerana mak buat kenduri nasi ambeng (Nasi di dalam dulang : tradisi masyarakat jawa). Jadi tak perlu lah aku bersusah mencuci pinggan mangkuk. Hanya perlu mencuci gelas dan dulang sahaja. Selebihnya duduk berbual-bual bersama kakak dan mak.

Sekali lagi aku di utarakan soalan yang mencabar minda untuk menjawabnya.. erk..ape nak jawab ek...Terus terang, aku tak kisah.. siapa dulu bukan masalahnya.. apatah lagi nak berkecil hati jauh sekali.. Perkara yang elok tak perlu dilengah-lengahkan.. tiba masanya, aku pasti akan menyusuli.. Lakukan lah apa yang patut.. tak perlu tanya atau minta persetujuan ku. Segalanya terletak pada tuan empunya diri.

Sebelum memejamkan mata, sekali lagi aku bertanya diri..cuba mencari jawapan seikhlas hati.. benarkah aku tidak berkecil hati.. terkadang aku hampir pasti.. cuma sedikit cemburu menyelimuti diri.


Kisah Percutian ku  

Friday, October 24, 2003

 

Akhirnya menjadi juga cuti yang dirancang-rancang... walaupun pada mulanya aku hampir hilang 'mood' untuk bersama-sama mereka. Aku perlu positif..perlu mengutamakan akal daripada membiarkan diri dihanyutkan perasaan.. perasaan yang kadangkala membunuh kemesraan bersama rakan-rakan.

Bertolak dari rumah aku sebaik sahaja selesai menunaikan solat maghrib.. Menaiki Iswara 'Tin' Zack, kereta yang di pandu Purple menuju ke destinasi pertama, pasaraya Giant. Di belakang.. aku, Purple dan Sid.. sempat jugak ar bergurau senda.. gelak tawa memeriah suasana. Sampai di Giant, masing-masing di beri tugas, mencari barang-barang yang perlu di bawa, sedikit makanan ringan serta bahan-bahan untuk membuat barbecue di sana nanti. Selesai di Giant.. menuju ke destinasi kedua, Pasar Borong Pandan.. mendapatkan sedikit Udang, Sotong, Kerang dan juga Ikan.

Lebih kurang jam 11 malam, barulah kami meninggalkan bandaraya Jb menuju ke Kota Tinggi. Dalam perjalanan, aku memang tak boleh tidur. Seperti biasa Purple akan membuat aksi-aksi bahaya yang membuatkan epal berulang kali menjerit ketakutan. Melewati Bandar Penawar lebih kurang pada pukul 12.30 malam dan seterusnya menuju ke Punggai.. melihat kan keadaan jalan yang tidak begitu rata dan kiri-kanan jalan yang dipenuhi hutan belantara.. ditambah pula keadaan jalan yang begitu lengang tanpa kenderaan lain..teringatkan bermacam-macam peristiwa tidak baik yang kerap kali berlaku akhir-akhir ini.. Aku hanya berdiam diri.. dalam hati hanya berdoa semoga perjalanan ini selamat tiba ke destinasinya.

Akhirnya, sampai di Teluk Punggai lebih kurang pada pukul 1.30 pagi. Oleh kerana keletihan yang amat sangat, selepas check in, masing-masing terus mengambil tempat dan melelapkan mata.

Selepas menunaikan solat subuh, terus menuju ke Pantai... mengambil kesempatan melihat matahari terbit di hampari laut yang terbentang luas.. argh..tidak henti aku memuji indahnya alam ciptaan Ilahi.. rasa tenang sekali.. nyaman..hilang segala masalah yang menyarabutkan otak. Tersenyum..rasanya ingin sahaja aku menjerit keriangan..hehe.. Aku tidak lupa merakamkan pemandangan indah ini mengunakan Video Cam epal.

Menyiapkan breakfast ala kadar.. cukup sekadar Sandwich berintikan Tuna.. lagipun di kelilingi suasana indah begini.. hilang segala rasa lapar.. Pagi itu kami membuat persiapan barbecue, memasang khemah dan selebihnya menghabiskan masa di swimming pool.

Tengahari, mula membakar ikan.. sotong dan lain-lain.. seterusnya menikmati makanan tengahari.. sambil bercerita.. bergelak tawa.. seronoknya jika kami selalu berpeluang begini. Selepas menunaikan Solat Zohor, masing-masing membuat aktiviti bebas. Purple dan Zack memilih untuk tidur di dalam khemah. Epal bersama diari kecilnya.. Sid bermain-main pasir dan aku sendiri memilih untuk duduk di Jeti membaca novel yang aku bawa, sesekali di temani SMS x-men. :-)

Kami bertolak balik ke JB pada petang itu.. sempat juga singgah di Desaru.. mengabadikan kenangan ke dalam Video Cam. Selain daripada membawa pulang seribu kenangan yang tak mungkin aku lupakan.. aku juga membawa pulang muka yang tidak ubah seperti di udang bakar...sehingga ada yang memanggil aku badut.. ;-(

Cuti2 Malaysia  

Thursday, October 23, 2003

 

Sudah lama aku tidak bercuti.. kali terakhir bersama-sama keluarga di Pantai Air Papan Mersing.. dalam kesibukan meneruskan tugas harian ini, hati ku begitu memberontak ingin pergi jauh dari sini.. pergi ke satu tempat yang boleh memberikan ketenangan serta kedamaian dalam diri.. ke satu tempat di mana tiada tugas-tugas pejabat yang penuh dengan dateline menghantui fikiran aku.. dan akhirnya tercetus ide ini, ide untuk pergi bercuti bersama rakan-rakan tersayang..

Seperti yang dirancang, kami bertemu di Food Court Arena, Jusco untuk membincangkan perkara ini. Sebelum itu, sempat juga aku merayau-rayau di Taman Tun, masih lagi sibuk menjengah-jengah ke kedai Digital Camera.. Hajat di hati, aku mahukan digital camera baru aku dirasmikan di tempat pilihan percutian aku dan rakan-rakan.. tapi entahlah.. aku perlukan lebih banyak pemerhatian dan kajian terhadap model-model yang mula mencuit hati aku.. banyak..terlalu banyak model-model baru digital camera yang muncul di pasaran.. pening jugak aku nak memilih yang terbaik dari segi nilai dan kebolehgunaannya..

Berbalik kepada cerita percutian yang dirancang, Sambil menikmati hidangan tengahari di Arena, kami sepakat memilih Teluk Punggai Beach Resort di Kota Tinggi sebagai destinasi percutian kami.. masih dalam pertimbangan samada untuk bertolak esok pagi atau petang ini juga.. dalam kegairahan untuk melihat matahari memunculkan diri di awal pagi esok, aku mencadangkan agar kami bertolak petang ini juga.. sebaik sahaja tamat waktu kerja..

Ah.. terbayang buih-buih pantai di hempas ombak.. sambil perlahan aku melangkah menyusuri hamparan pasir putih.. sambil menghirup udara segar.. disulami desiran ombak..
erk..beshnyer..

Tadi sempat jugak aku singgah kedai favourite aku setiap kali aku ke Jusco.. manalagi kalau bukan MPH.. erk.. tak sah kalau aku tak singgah MPH.. Melayang juga duit aku RM50.. Satu novel terbaru keluaran Alaf21, Sesuci Cinta menjadikan koleksi novel Alaf21 aku melebihi 10 buah.. sebuah lagi aku beli buku Men Are From Mars Women Are From Venus by John Gray.. Dah lama aku nak memiliki buku ni..

oklah guys.. banyak aku nak cerita.. tapi masa tak mengizinkan..
Selamat Bercuti kepada semua.. Semoga berbahagia menghabiskan cuti.. ;-)

Satu lagi gambar dari ittutor.. yang ni asrie punya..




Tak ada sebab saya nak sakitkan hati awak.. kalau boleh saya nak tengok awak bahagia selamanya

Thanks.. :-)

Nasihat  

Tuesday, October 21, 2003

 

Lunch hour hari ni aku tak keluar makan.. (pose..erk..betul ke kita pose Cik Ju??)
Ada sesorang nak berbual-bual dengan aku di msn.. sesorang yang aku kira agak rapat dengan aku sejak akhir-akhir ni... Banyak yang aku fikirkan setelah mengakhiri perbualan yang cuma sebentar itu..

"maksud 'suka' tu...ialah mai boleh terima dia...mungkin sebagai kawan dulu ke"
"maknanya ada ruang untuk mengenali lebih dekat satu sama lain"
"yg penting... mai kena ada sikap terbuka..."
"iaitu beri peluang kt diri mai utk mengenali dia"
"beri peluang kat diri Mai mengenali dia"
"sampai bila pun mai takkan kenal org"
"kalau tak kenal mcm mana mai nak sayang kat dia"
"kenangan lama jadikan teladan"
"kehidupan mesti diteruskan"
"jgn dikenang barang yg lepas"
"mai... manusia tak boleh hidup dgn kenangan semata2"
"... samada kegemilangan atau kegagalan yg lepas tidak bermakna utk masa depan"
"..bina kehidupan baru yg leboih baik"
"mai... putus cinta sebenarnya adalah perkara biasa"
"ada org putus cinta 5/6 kali"
"mai kena percaya kat takdir"
"ada sebab2nya kenapa terjadi mcm tu"
"mungkin kalau mai berkahwin dgn bf lama tu... tak kekal lama ke"
"setiap yg berlaku ada hikmat2 tersendiri"
"..sebab tu mai tak boleh kecewa sgt"
"..cari lelaki yg mai betul2 suka kat dia.... mai akan lupa kisah2 lama tu"
"sebab tu mai kena bukakan fikiran mai..."
"beri peluang kat diri mai ... "
"beri juga peluang kat lelaki lain yg nak kenal diri mai"
"jgn anggap semua lelaki sama"
"alaa.... itu bukannya nasihat mai"
"itu pendapat abg je"
"sebenarnya setiap kegagalan atau kejatuhan tk kira dlm apa segi sekali pun... akan membuat kita menjadi lebih kuat untuk bangun semula"
"itu sebab dlm perniagaan...kebanyakan yg berjaya sekarang pernah gagal dan jatuh dulu
kehidupan memang mcm tu lah mai"


erk..antara nasihat yang membuat kan aku seperti baru tersedar dari mimpi.. ;-(

Digital Camera  

 

Petang semalam balik kerja, aku terus ke Jaya Jusco.. ada orang nak belanja aku makan Mc D. Terima Kasih lah kerana sabar menunggu aku.. aku tiba lewat hampir satu jam daripada waktu yang dijanjikan... bukan silap aku, kebetulan ada kemalangan di hadapan Petronas Mutiara Rini.. so jalan agak jammed.. Terima Kasih jugak sebab belanja aku makan Mc D. Aku bukan sengaja tak nak bayar makanan tu.. dalam kalut2 tu.. aku boleh tertinggal beg duit aku kat rumah... erk..dah la lesen dan IC pun aku tak bawa.. ntahapapa... Nasib baik sikap slumber aku berterus terang difahami oleh dia.. Dah la kali pertama jumpa...hmmm.. mesti dia ingat aku sengaja nak 'ketuk' dia...

Petang semalam jugak, aku ralit tengok gambar cantik2 dalam ittutor. Impian nak memiliki digital camera sendiri kembali ar datang kat kepala ni.. Actually aku budget daripada gaji bulan lepas lagi.. erk.. nak raya punya pasal.. budget digital camera pun entah ke mana.. Lebih mengejutkan.. Cik Ju pun mengutarakan pendapat yang sama.. Tak sabar nak beli digi cam sendiri.. menarik ni.. semakin lah aku bersemangat nak pergi survey.. Melalui survey aku kat internet, ada dua brand jek yang menarik minat aku.. Canon dan jugak Sony.. Tapi kalau tengok budget.. rasanya more to Canon..


Canon powershot A70


Sony-Cybershot-dscp72

Ni antara gambar bro nevland yang aku suka sangat..


Lagi2 x-men :-(  

Sunday, October 19, 2003

 

Pagi ni aku ada janji sebenarnye...Janji untuk berjumpa dengan seseorang... menemani dia ke pertandingan kereta control.. tapi macam biasa.. bila last minute, aku suka sangat berubah mood.. Padahal petang semalam aku yang beria-ia nak ikut dia.. Minta maaf lah yer... may be, lain kali saya teman kan awak... :-(

Malam tadi seperti biasa, aku sekali lagi begitu seronok bertukar-tukar sms dengan x-men.. Macam dah jadi rutin di malam minggu pula..hehe.. Dia masih lagi di meja snooker. Maklumlah malam minggu.. keluar bersama-sama kawan-kawan dah jadi aktiviti harian bagi orang bujang katanya... bila dah kahwin nanti, terpaksalah menghabiskan malam minggu di rumah.. sms yang pada awalnya seperti biasa bertanya khabar, bertukar sedikit luar biasa ku kira.. tak pasti samada aku yang silap membuat kira-kira, atau juga dia merasa debar yang sama..

Sedang leka menunggu balasan yang seterusnya.. telefon berbunyi.. berdebar aku sebaik sahaja sekilas aku terpandang nama yang muncul di screen handphone aku.. Sekian lama.. ya.. telah sekian lama aku tidak mendapat panggilan darinya.. Sudah bertahun ku kira.. Agak lama masa yang perlu aku ambil dalam membuat keputusan samada untuk menjawab panggilan itu..

dan akhirnya...

Butang answer telah ku tekan...

Diam

Tidak pasti di mana aku hendak memulakan bicara.. hendak menjawab hello pun aku rasa tiada kekuatan.. kelu lidah hendak berbicara...

heh..spontan sahaja aku bertanya..

'Ada apa awak call saya??'

Ah..mengapa soalan itu..mengapa soalan yang paling cuba ku elakkan itu yang terpacul dari bibirku... mengapa gatal sangat mulutku berbicara sekasar itu..

Terdengar bicara di hujung sana... suara itu..ya.. suara yang kerapkali mengunjungi gegendang telingaku suatu ketika dulu.. bertahun telah berlalu.. tapi mengapa nadanya masih di situ.. lenggok bicara tiada langsung berbeza.. gelak tawa.. biarpun sedikit masih mampu menguntai seribu rasa..

Aku terkedu... perlahan-lahan aku campak rasa gugup.. menutur patah demi patah yang aku sendiri tidak tahu di mana hujung pangkal.. cuba mencari arah dengan sedikit tawa yang begitu sumbang bunyinya.. sehinggakan dia berkata

'Kenapa awak ketawa macam tu?'

erkk...kenapa?

Tak tahu.. entah.. Tiada jawapan...

Mungkinkah aku telah jatuh cinta kali kedua pada orang yang sama??





Kawan Lama  

Saturday, October 18, 2003

 

Aku batalkan hasrat untuk pulang ke kampung hari ni.. Mak telefon di awal pagi... berpesan supaya aku tak payah balik minggu ni...tak pula di beritahu sebabnya dan aku pula, tak terlintas untuk bertanya. Mungkin Mak tiada di rumah agaknya dihujung minggu ni.

Seawal jam 1 aku sudah keluar office.. seperti tak percaya kata Cik Ju..heh.. maklumlah aku memang lebih suka menghabiskan masa di office berbanding duduk di rumah...Tidak tahu apa yang hendak dilakukan..Tak tahu ke mana hala tuju.. Alih2 aku sudah sampai di depan rumah.. Cuba2 mencari siaran TV..manalah tau, ada cerita yang berkenan di hati.. akhirnya, aku memilih satu cerita indonesia.. aku sendiri kurang pasti tajuknya... namun isi ceritanya cukup membuatkan hati ku tersentuh.. kisah kanak-kanak.. di pelihara oleh keluarga angkat.. Jojo nama si kecil itu..

Sedang melayan kesedihan menonton kesulitan hidup si Jojo, menerima panggilan daripada nombor yang aku sendiri kurang pasti pemiliknya.. terdengar suara lembut dihujung talian.. memperkenalkan diri sebagai Idayu... terdiam aku sebentar.. mengambil masa.. mengamati dan cuba mengenal pasti.. dimanakah aku mengenali gadis bernama Idayu ini.. dan akhirnya.. ya..seorang rakan lama...dibangku sekolah rendah lagi.. Seperti tidak percaya... kali terakhir aku berjumpa dengannya..entah berapa tahun yang lepas.. seingat aku sebaik sahaja kami menamatkan persekolahan di tingkatan 3.. dan kini..argh..sudah hampir sembilan tahun ia berlalu..

Mempelawa aku ke rumahnya... yang kebetulan tidak begitu jauh dari tempat tinggal ku ini.. Sekitar jam enam setengah, setelah puas aku berpusing-pusing di sekitar Tmn Tun... akhirnya aku berjumpa dengan Flat yang dimaksudkan.. dari jauh Idayu sudah tersenyum sambil mendukung seorang anak kecil... sempat juga aku menjatuhkan pandangan pada perutnya yang sedang membesar..argh..sudah berkahwin rupanya kawan lama ku ini.. dan pastinya si kecil yang cukup comel ini anak sulungnya ku kira.. dan yang di dalam perut tu aku harap bukan lah yang ketiga..hehe

Kami berpelukan..argh...terbayang kisah di zaman sekolah rendah.. kami sama-sama sering di rotan Ustaz Basir.. kerana membuat bising di dalam kelas.. aku sering juga bersaing dengannya untuk merebut tempat terbaik di dalam kelas.. dan pastinya aku seringkali mendahului.. dan kini siapa tahu dia telah mendahului aku dalam menemui kebahagiaan hidup.. Melangkah ke dalam rumah..terasa begitu damai sekali ku rasakan.. biarpun cukup sederhana... namun kekemasan dan hiasan yang cukup teratur membuat aku tak henti-henti memuji...Diperkenalkan dengan si comel Ikmal Izwan..cukup comel serta bijaknya dia... meski tidak pernah bertemu, cepat sahaja dia datang memeluk ku.. seperti tahu mamanya pernah menghabiskan separuh dari usia kami bersama..aku yakin, Idayu telah menemui kebahagiaan hidupnya.. cukup bahagia sekali ku rasa... kemesraaan bersama anak-anak dan suami bukanlah sengaja di lakonkan seperti yang sering aku lihat di kaca TV.. Sesekali terlintas rasa cemburu dengan kebahagiaannya.. entah bila aku akan merasa kebahagiaan hidup seperti ini..

Setelah bercerita panjang.. menikmati hidangan.. aku bertolak pulang sekitar jam 9.30 malam... hari ini aku belajar satu perkara baru.. satu pengalaman baru.. kemewahan bukanlah kunci kebahagiaan.. tanpa kemewahan, bahagia itu pasti jua menjelma.. yang penting bagaimana kita menafsirkan erti sebuah kebahagiaan itu.

New Template  

Friday, October 17, 2003

 

Sudah berminggu aku menyimpan hasrat untuk menukar layout blog aku ni, akhirnya hari ni, terlaksana jua niat aku tu. Perlahan-lahan aku cuba mengikut gerak hati... bermain-main dengan adobe photoshop.. dan aku tahu apa yang hati aku mahukan.. sesuatu yang simple....cukup sekadar redup mata aku memandang... yang penting aku gembira dapat meluahkan kata hati aku di sini.. teman di kala sepi hadir mengetuk pintu hati..


Baru sahaja aku berbual-bual dengan Cik Ju.. Sebaris ayat yang membuat aku berfikir sejenak.. memikirkan kebenaran kata-katanya.. baru minggu lepas Encik Is mengatakan sikap aku yang agak pelik... dan hari ni Cik Ju mengutarakan soalan yang sama.. tentang kepelikan sikap aku di akhir-akhir ini.. pelikkah aku? Berkerut jugak dahi nak mencari jawapannya. Entah.. kekadang aku sendiri sukar nak menafsir apa yang belaku dalam diri aku.. Terlalu banyak untaian-untaian yang perlu dileraikan di dalam kepala agaknya..lantaran kesukaran itu, aku lebih banyak mendiamkan diri.. lebih banyak memerhati.. sekadar merelakan masa yang berlalu beraksi sendiri.. sedang aku masih di sini..

Diam..atau lebih tepat pendiam.. satu karektor yang amat aku senangi.. terutamanya jika dimiliki lelaki.. tidak hairan lah si dia yang pernah bertakhta di hati amat pendiam orangnya...amat sedikit tutur biacaranya... Bagi aku banyak istimewanya mereka ini..sedangkan bagi rakan-rakanku.. membosankan lelaki pendiam ni..

'Bahaya orang pendiam ni Mai...sape tahu dalam diam..dia menyimpan seribu rasa.. entah suka entah duka.. sekali meluahkan..pasti besar akibatnya'

Dari pengalaman.. dan pemerhatianku... ada benarnya kata2 sahabatku itu..
entah..mungkin terlalu benar bagiku... sehingga membawa aku ke dunia sepi ini.. Yang pasti.. karektor pendiam masih lagi bisa membuat aku tersenyum sendiri.. membuat aku termimpi-mimpi... mimpi?

ye mimpi...sebelum tidur aku mendapat satu sms tentang mimpi...

'Saya akan pastikan awak tak peluk saya dalam mimpi'

erk... ape maksudnye ye tuh???

Dambaan Pilu  

Wednesday, October 15, 2003

 

Malam tadi, aku sekali lagi menghabiskan malam bersama kawan-kawan terchenta..Pada awalnya aku dah buat keputusan untuk tidak join diorang, maklumle keje aku kat opis agak sesak jugak di saat-saat akhir peninggalan aku. Aku faham kehendak bos, seperti jugak aku, dia tak mahu banyak perkara yang ditinggalkan begitu sahaja sehingga bakal pengganti aku disini tak tahu hala tuju, di mana perlu dia meneruskan kerja-kerja aku.

Dapat sms lewat petang tu dari Cik Purple...diorang nak gerak pukul 6++..erkk, aku masih kat opis lagi ni..cam ne ekk...dekat pukul 7 tu, aku ubah fikiran..mesti join jugak diorang ni... aku bukan lama lagi kat sini..nanti2 bila pulak nak kuar sama-sama lagi..
so lepas maghrib bertolak ke port pertama yang dirancang..Stulang...merasa jugak aku naik Iswara 'Tin' baru cik Zack ni..Tak sampai semnggu aku rasa kete tu.. JHExxxx....besh gak..ni rasa nak tukar kete kecik aku tuh....tapi aku cayang sangat dengan kete kecik aku tu...hehe..

Sampai Stulang..keadaan agak lengang...heh..maklum la malam masih muda.. Saat yang aku paling tak suka kalau makan kat Stulang ni...lom carik meja diorang dah beramai-ramai konvoi ikut belakang kami.. dorang tu bebudak ambik order tu lah..
Kami pun pusing punya pusing carik meja.... sampai budak belakang tu sound

' Diorang ni sekali pusing2..lepas tu blah'

hahhaa..ade ke macam tuh..
Order punya order...pergh..dengan kerang bakar laa..roti bakar laa..
Aku makan sampai 'kewarekan' kata orang putih... ;-)

Sembang-sembang sambil makan...cik purple cakap

'lepas ni bila lah boleh keluar makan sama-sama dengan Mai lagi'

uwaaaa..jangan cakap cam tu wei..sedih aku..ni yang rasa tak nak tinggalkan korang smua...Tapi tak pe cik purple... Kalau bab makan ni, ko cakap jek bila, aku sanggup turun dari Segamat untuk makan sama-sama dengan korang... tapi dengan syarat ar..ko blanje..amacam.. ok???

Lepak jap tepi laut tuh...then memasing muka mengantuk giler... Plan tengok wayang dah dikuburkan... kenyang sangat punya pasal agaknye...

Dalam kete, dengar lagu ni..dambaan pilu dari peserta AF- Khai..
syiokk ar lagu ni..kan kannnn cik epal kannn??
Jom nyanyi...!!!

inikah yang harus kuterima.....
dedaunan layu berguguran
jatuh di sisiku....
adakah ruang walau kemesraan
untuk kali ini.... bersamamu.....

biarlah hanya ku menatap....
wajahmu nan indah.....
lepas kerinduan ini.....
harap kasih milik berdua
dambaan ku pilu
perpisahan yang berlaku....

tak sanggup bila meratapi....
hanya sayu diriku kehilanganmu kini....
andainya masa menentukan
moga saat itu
kau hadir hanya untukku

suatu yang kupinta
buatmu kali terakhir....
sekiranya diriku masih dalam hatimu
renunglah kembali
jika kau masih di sini
biar bersemadi kasihmu ini
yang tiada pengganti......

A Tale Of Two Sister  

Tuesday, October 14, 2003

 

Dah tengok lom movie nie?
Semalam aku dan bos Mr X serta beberapa lagi member yang lain menonton cerita ni.
Hahah...sebelum masuk semua dok fikir banyak kali, betul ke nak tengok cerita ni? Takut tak boleh tidur malam lah, takut terbayang-bayanglah..maklumlah, The Most Horror Movie in Korea..so aku dengan semangat jitunya mencadangkan agar kami tengok jugak cerita ni..

Macam biase, sebelum memulakan aksi-aksi mencemaskan di MPV, aku takkan melepaskan peluang menjenguk ke Vincci... pergh..ada satu kasut tuh comel gilak, warna favourite aku buat masa ni coklat, (warna favourite aku sentiasa bertukar-tukar mengikut musim) kui kui kui... Aku pun apalaga, mintak ar amoi tuh carikkan size untuk aku.. tunggu punya tunggu, tak sampai-sampai kasut idaman aku.. ceh..amoi tu boleh buat muka slumber poyo die... erk..sakit hati lah pulak..Bila aku tanya dia..dia cakap sekejap lagi..tanya lagi..sekejap lagi..sampai lah dekat 15 minit dia punya sekejap..then bila aku tanya customer service yang lain..boleh geleng kepala cam tu jek..uwaaaaa...di manakah hak aku sebagai pembeli...kalau yer pun ada masalah dalaman jangan ar tunjuk kat customer.. so dalam kesedihan dan kepiluan kerana gagal memiliki kasut comel tuh, aku pun blah la dengan muka hampa..

ok ar, sambung crite movie tadi..hmmm..actually cerita ni more to psycho-trauma thriller movie, bukan nya seram sangat pun..(padahal aku berapa kali menjerit..haha)
Jalan cerita agak slow, perlukan banyak tumpuan dan masa untuk berfikir...kadang2 kejutan mampu membuat aku menjerit tergezut...dan kesudahan nya perlu difikirkan sendiri.. erk..maka timbullah pelbagai skrip sebagai ending cerita daripada aku sendiri, bos dan kawan2 yang lain...siapakah yang gila, siapakah pembunuh, macam mana itu..macam mana ini...

Dalam perjalanan balik, Mr X tanya aku kalau di beri peluang samada aku nak menonton cerita ni lagi..aku jawab, tak nak sebab aku mahukan cerita seram yang mampu membuatkan aku menjerit sepanjang cerita tanpa perlu memikirkan apa2..hahaha..dia jawab kalau macam tu tengok lah mistik...dia sambung lagi sebenarnya cerita macam ni lah yang mendapat tempat di hati penonton.. cerita yang mampu box office.. kerana terlalu ingin tahu situasi cerita yang sebenar, penonton akan tertarik untuk menontonnya kali kedua..dan mungkin jugak ketiga...

heh..entah kenapa pagi ni..aku rasa kata2 bos aku ada benarnya... sebab dalam diam aku menyimpan hasrat untuk menontonnya kali kedua..hehe
sape nak teman aku...jom!!!!!

Hie Hie..Bye Bye  

Friday, October 10, 2003

 

'Eh..betul ke blog ko ni Mai'
'A'a laa.. kenapa..ada yang tak kena ke?'
'Hahaha..macam tak percaya jek..gilak jiwang ko..tak sangka ko pandai jugak berjiwang cam ni kan?'
'kui kui kui' (Liquid7 punyer style gelak)

Huh..antara perbualan aku dengan member aku dalam YM petang semalam! jiwang.. erkk..I'm not that type of lady..heard this song before? By Camelia and Urban Exchange..so cool rite?? Oklah..my buddy..sesekali jiwang apa salahnya..as one of my friend wrote(frend? huhuhu..i think now i'm his ex-friend :-( ) 'a place to luah da perasaan for people who can manage their time effectively'..kui kui kui (sorry bro Liquid7..i liked that type of laugh too!) I have so many things to do actually..I must settle all that things before going back to my beloved hometown.. Segamat..arghh..that small town..but i loved that town very much..don't ask me why..heard this pepatah before ' Hujan Emas Di Negeri Orang, Hujan Batu Di Negeri Sendiri..Lebih Baik DI Negeri Sendiri'..hmm..something lebih kurang macam tu lah..tak berapa ingat..hehe

I'll miss a lot of things here.. Jusco, Angsana (shopping of course..), Skudai Parade (Bowling...even I'm the Longkang Girl..Pool..huh..i also know how to play this game ekk? Thanks for Areel for teach me how to play this game..mesti ko malu kan bawak aku main pool ;-) City Square ( my beloved Vincci, MPV... but i'll make sure, I won't miss the LOTR on this coming 18 December). MPH ( Slumber bersila, open the books plastic cover..and read..ahaks sorry ar to the MPH staff yang selalu jeling2 kat aku..), and so on..

Eh..one more thing laa..I'll miss Restoran Ayu cooks..the restaurant where I have my lunch everyday until Mak Cik Ani (the owner of the restaurant) call me as her Menantu..
hehe..at first, i like her son too.. but now, no more that feelings.. Why? Becoz her son like my friend..hahaha...

hmmm.. a alot of things i'll miss ekk?

Happy Birthday x-men  

Monday, October 06, 2003

 

Tarikh hari ni pernah menjadi tarikh penting dalam hidup aku suatu ketika dulu..walaupun mungkin tidak berapa penting bagi pemilik tarikh ini sendiri...sudah lama ia berlalu, tapi tarikh ini masih teguh diingatan dan fikiran ku.. 6108..sampai bila-bila mungkin aku tidak akan dapat melupakan 4 digit ini.. gabungan dua tarikh lahir, 6hb 10 dan juga 10hb 8..hasilnya 6108..

Dua tahun yang lepas aku tidak membuat sebarang ucapan untuknya..cukuplah sekadar aku berdoa agar dia di panjangkan umur serta dimurah kan rezeki olehNya. Entah kenapa, hari ni tergerak aku untuk menjadi insan pertama seperti yang sering ku lakukan satu ketika dulu.. insan pertama yang memberi ucapan sempena hari lahirnya...SMS bertukar inbox... dia balas..dan kami terus bertukar-tukar SMS sehingga aku sendiri tidak sedar pukul berapa aku melelapkan mata..heh..sekali lagi aku rasa tidur ku begitu indah...tidak seindah tidur-tidur ku di malam lain..:-(

Entah kenapa..kekadang aku tidak suka dengan perhubungan yang kembali terjalin ini.. walaupun ia hanyalah satu ikatan persahabatan..sedangkan itulah yang aku usahakan selama ini.. itulah yang aku ikhtiarkan..memerlukan sepenuh kesabaran,
menuntut penuh keikhlasan..dan akhirnya..walaupun aku tidak begitu yakin sepenuhnya...namun ada sedikit sinar di situ..sinar yang aku tunggu-tunggu selama ini.. jadi kenapa aku perlu berasa gusar dengan situasi ini..bukankah itu yang sering aku doakan sewaktu aku mengadu padaNya..itu jugaklah harapan ku setiap kali sebelum aku memejamkan mata..tak pernah jemu...entahlah..yang pasti hadirnya kembali sinar itu sedikit sebanyak mempengaruhi emosi ku..mempengaruhi minda ku..juga tingkahlaku ku..pendekkata...(pendek yang kata panjang tak kata..ahaks)aku tidak suka situasi ini mengganggu hidupku.. aku bimbang..bimbang jika hati ini tidak kuat mengota janji..bimbang jika hati ini terusan di panar kerinduan..dan aku akan merelakan...


p/s : semoga x-men tidak dan tidak akan pernah jumpa blog aku ni..heheh

Pergi Tak Kembali  

Sunday, October 05, 2003

 

Pepagi aku dah dikejutkan dengan suara mak yang bising2 sebab anak dara dia belum bangun..hehe..aku pun sama..terlupa pulak yang sekarang aku berada di kampung halaman...Subuh pukul 6.45 dah dikire lewat bagi mak aku....Sedangkan Mak, seawal pukul 6 pagi sudah riuh rendah di dapur...begitulah tanggung jawab seorang ibu.

Aku bangun menunaikan solat subuh..kemudian duduk di depan rumah. Memerhatikan keindahan puncak gunung ledang yang jelas kelihatan pagi ni..menghirup udara segar kampung sambil menikmati pemadangan yang mengasyikkan...sambil di hati memuji keindahan alam ciptaan Tuhan.

hmm..sebaik sahaja aku tiba di rumah malam tadi.. selepas makan malam..terus ku khabarkan berita gembira itu pada mak..dan sperti yang aku jangkakan..mak adalah orang yang paling gembira mendengar berita ini... walaupun tidak di khabar..tapi riak wajahnya sudah cukup membuktikan kegembiraan yang sedang dirasakan.. dan ketika ini..aku begitu yakin dengan keputusan ku.... walaupun di hati aku..masih ada sedikit baki kesedihan untuk melepaskan segala yang sedang aku alami...

Semalam seawal pagi aku sudah dikejutkan dengan panggilan telefon dari kampung. Kata abang aku...mak pesan supaya aku tak payah balik kampung hari ni.. sebab mak dan semua yang lain nak ke Pahang...menghadiri majlis perkahwinan sepupu ku..Tapi entah macamana..balik sahaja dari kerja aku terus berfikir nak balik jugak ke kampung..hati aku kuat mengatakan yang mak aku tak akan pergi ke sana..Aku masih ingat lagi perbualan telefon aku dengan Mak aku beberapa hari lepas..Masa tu aku memang agak kecewa sebab Mak tak nak pergi menghadiri majlis tersebut.. Alasan mak, nenek aku yang sudah uzur tu..tak ada siapa nak jaga di rumah.. padahal pak usu aku ada di rumahnya.. biar lah nenek bersama pak su..

Akhirnya..setelah jauh aku selami hati mak.. aku tau..ada sedikit kekecewaan di situ..ada sedikit keegoan masih berbaki..keegoan hati seorang mak long..

Dua tahun lepas, sedang menunggu ketibaan pak cik, mak cik, dan dua orang sepupu ku yang tidak kunjung tiba, kami di khabarkan satu berita buruk yang amat menyayat hati, amat memilukan..yang kesannya masih dapat ku rasa hingga ke saat ini. Panggilan yang dijawab oleh mak cukup untuk membuat kan usia tua mak tidak dapat mengawal dirinya....lalu rebah bersama tangisan yang amat memilukan..Lalu gagang telefon bertukar tangan....antara percaya dengan tidak, aku jugak mendengar berita yang sama... berita yang menghentikan nafas aku seketika..Berita yang membuatkan pandangan aku gelap serta merta...Berita kemalangan yang telah mengorbankan insan-insan yang aku sayang amat menyesakkan jiwa aku... mak terus dibantu oleh kakak dan aku terus sahaja mendail mana mana nombor telefon yang terlintas di kepala..pastinya cuba menghubungi abang-abangku..

Sejurus sebelum maghrib...kami mendapat berita yang mengesahkan keempat-empat mereka telah pergi meniggalkan kami buat selama-selamanya... Sekali lagi mak tidak dapat mengawal kesedihan..begitu juga dengan aku dan yang lain-lain..tapi yang paling aku kagumi..nenek..tidak setitis ia mengalirkan air mata di atas perkhabaran ini.. Tidak pasti samada nenek tidak faham duduk cerita yang sebenar..Maklumlah di usia 80 tahun.. nenek agak sukar dan lambat memahami apa yang berlaku... Aku hanya dengar nenek menyebut Allahuakbar perlahan.. dan terus termenung...pandangannya cukup kosong.. entah apa yang sedang difikirkan.. aku gagal membaca fikirannya...

Malam itu juga kami bertolak ke Pahang.. Malangnya hanya sebahagian daripada
kami. Esok seawal pagi, Mak, Nenek serta abang ku akan bertolak ke airport.. penerbangan mereka untuk menunaikan kewajipan di bumi Mekah dijadualkan esok pagi.. Dalam aku sedang berkira-kira untuk membuat keputusan, mak mencadangkan agar aku pergi ke Pahang.. ya, itu juga yang sedang aku fikirkan... Dalam tangis yang belum berhenti.. aku bersama-sama abang dan pak cik bertolak ke Pahang.. sebelum pergi sempat aku bersalaman dengan mak, nenek dan abang.. mendoakan semoga perjalanan mereka ke sana selamat dan dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.

Ya..sejak dua tahun itu, mak aku kira ada menyimpan sesuatu yang terbuku di hati. Entah apa yang difikirkan..tidak pula jelas dipemikiran ku...Yang pasti, mak selalu berdoa dan berharap agar anak-anak saudara tidak sama sekali menyalahkan mak di atas pemergian ibu, ayah dan adik-adik mereka.

Dan malam ini.. sedang mak dan aku berehat-rehat...kami di kunjungi salam yang cukup lembut suaranya..yang seperti pernah biasa aku dengar suatu ketika dulu..dan aku pasti..yang datang itu bukan orang lain.. sepupuku sendiri yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya semalam...terus sahaja kukhabarkan berita gembira itu kepada mak.. dan situ jugak, kulihat air mata mak tumpah.. air mata rindu seorang mak long..terhadap darah dagingnya yang telah sekian lama tidak berjumpa... dalam hati aku berdoa..semoga titik pertemuan ini..akan menyatukan kami semula..


p/s : Kepada pembaca-pembaca yang beragama Islam, sudilah kiranya menyedekahkan al-fatihah buat arwah pak cik, mak cik dan sepupu2 ku.

Akan bahagiakah aku di sana??   

Saturday, October 04, 2003

 

Sudah lama aku tidak menangis...entah kenapa aku ni suka sangat menangis.. begitu juga dengan perempuan-perempuan lain di luar sana...walaupun aku akui tidak semuanya.. aku sendiri sewaktu di kolej lagi di kelilingi mereka-mereka yang teguh hatinya. Yang kuat pendiriannya.. tidak mudah sekali menumpahkan air mata..dan sehingga kini, di zaman pekerjaan.. aku masih di kelilingi mereka-mereka yang begitu sifatnya...Tapi aku..entalah..naluri semula jadi aku memang begitu agaknya.. Aku yakin ramai wanita di luar sana mempunyai sifat tak ubah seperti ku.. jikalau tidak..masakan frasa 'air mata adalah senjata utama wanita' biasa ku baca dimana-mana.. pendek kata air mata begitu sinonim dengan wanita.. Bagi aku, air mata ku bukan senjata.. apatah lagi bertujuan meraih simpati.. Air mata ku sekadar melambangkan perasaan ku ketika itu.. boleh jadi aku terlalu kecewa mahupun terlalu gembira..

Tapi aku sendiri tidak pasti air mata jenis apa kah yang sedangkan ku tumpah kan ini.. kecewa kah aku..atau mungkin jugak terlalu gembirakah aku?? Aku sendiri gagal bermain dengan teka teki perasaan sendiri..Yang pasti..sebaik menerima 'berita' itu daripada pihak atasan, air mata aku laju menitis.. gembirakah aku..ya, tersangat gembira. Doa aku akhirnya di makbulkan..harapan ibu bakal aku kotakan.. bersedihkah aku?? ya, tersangat sedih..aku akan kehilangan... kehilangan sahabat-sahabat tersayang... kehilangan saat gembira bersama mereka... menonton wayang bersama.. bermain bowling.. berjogging... yang akan ku bawa pulang..hanyalah secebis kenangan..kenangan yang tidak mungkin aku lupakan..

argh..air mata ku tumpah lagi..

Aku sering kali gagal membuat keputusan terbaik untuk diri aku..aku seringkali gagal menghargai yang terbaik yang pernah aku miliki..yang pernah di anugerahkan untuk ku.. yang pernah ada bersama-sama ku..saat ini..saat aku yakin dan pasti.. ia semua akan pergi jauh dari aku... bukan lagi menjadi milik ku... dan tempias kehilangan sudah menguasai diri ku... tiada apa lagi yang mampu aku katakan..hanya kesedihan diiringi doa..semoga keputusan ini menjadi keputusan yang terbaik buat diriku.. dan tiada lagi tanda tanya.. akan bahagia kah aku di sana???

 





























This page is 
                        powered by Blogger. Isn't yours?